Pages

Khamis, 16 September 2010

Kelebihan Berpuasa Sunat 6 Hari Syawal...

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. 

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.


Sumber: ukhwah.com

Jumaat, 10 September 2010

Sambut Lebaran Mengikut Sunnah...

Antara amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini ialah:-

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

Selasa, 7 September 2010

7 Golongan Manusia Yang Mendapat Naungan Allah di Akhirat..

Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu.
Rasulullah SAW menggambarkan ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:
Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sabtu, 4 September 2010

Adab ketika musafir ...

Sesetengah di antara kita selalu keluar, sama ada kerana urusan pekerjaan, menziarahi keluarga dan kenalan atau kerana semata-mata bercuti. Ada antara kita tidak ambil kisah mengenai perjalanan, asalkan pasti tempat ditujui. Tetapi dalam Islam ada beberapa panduan yang wajar diberi perhatian, antaranya:

1. Dianjurkan memulai perjalanan pada Khamis.
Melalui hadis diriwayat Bukhari bermaksud: “Rasulullah s.a.w berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.”
2. Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.
Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
3. Dianjurkan bermusafir bersama-sama.
Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”
4. Berdoa dalam musafir
Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam perjalanan dan doa orang tua terhadap anaknya.”
5. Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa
Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”
Nabi s.a.w, apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.
Kemudian, baginda berdoa (maksudnya): “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis riwayat Ahmad)
6. Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.
Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumaat, 3 September 2010

Petua Tidur Menurut Rasulullah S.A.W...



Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur.Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah swt hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas. Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur.Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar.Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga.

Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah. Sebaliknya, jika seseorang tidur cara selain dari cara Nabi SAW,dia hanya akan dapat kerehatan. Kalau bernasib baik, selama 20 tahun mungkin dia dapat mengumpul 20 kilo tahi mata dan menakung 20 liter atau lebih air liur basi.

Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.

2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.

3. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu,dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah?

Subhanallah 33 X, Alhamdulillah 33 X, Allahuakbar 33 X.

4. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

5. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.

6. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.

7. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.Bangun tidur boleh buka fail semula kalau mahu.

8. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

Banyak lagi Sunnah Nabi saw yang boleh diamal, semuanya mudah untuk dilakukan. Lebih mudah daripada bersolek atau pakai night cream sebelum tidur.Lebih mudah daripada buat senaman ringan sebelum tidur.

Peringatan : Pesan Nabi saw, dilarang tidur meniarap terutama lelaki.Sekiranya tidur dengan kain pelikat, ikat hujung kain supaya tidak menimbulkan fitnah.

Tutup aurat ketika tidur. Kenapa ya? Lelaki yang tidur meniarap,dibawahnya Syaitan/ Jin Betina.Tidur bogel atau tidak menutup aurat akan menghindarkan Malaikat Rahmat dan mengundang makhluk lain. Sekiranya bersetubuh tanpa membaca doa, Syaitan/Jin akan bersama-sama menjamah isteri kita. Kemungkinan besar benih yang masuk bercampur dengan benih-benih Syaitan/ Jin. Jadi jangan marah kalau anak-anak ikut perangai "bapa-bapa angkat" mereka ketika kita bersetubuh dulu."
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi telah bersabda : “Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk , hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk . Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri”.

Islam mementingkan tidur dan rehat agar ibadat dan aktiviti seharian dapat dilakukan dengan baik dan seimbang . Malah tidur dapat menentukan kesihatan dan menghasilkan kecergasan dalam diri seseorang . Bukan itu sahaja , tidur bagi seorang muslim juga dikira sebagai satu ibadat sekiranya ia memenuhi adap2 dalam Islam antaranya : -

1. Berwuduk
Sebaik – baik gosok gigi anda sebelum masuk tidur . Malah biasakan diri untuk mengambil wuduk sebelum tidur kerana menjadi amalan yang sangat dirahmati . InsyaAllah tidur anda akan sentiasa dilindungi daripada gangguan syaitan dan iblis .

2. Perut Tidak Terlalu Kenyang
Pastikan perut anda tidak terlalu kenyang ketika mengambil makan malam . Bukan sahaja tidak elok untuk kesihatan malah boleh menyebabkan perut anda cepat rasa sebu . Perut yang kenyang juga boleh menyebabkan anda cepat berasa mengantuk mahupun menghadapi masalah sukar untuk bangun .

3. Mengingati Kesilapan
Sebaik sahaja anda meletakkan kepala ke bantal , cuba anda ingat semula perkara yang telah anda lakukan sepanjang harian . Sekiranya anda melakukan perkara – perkara yang baik , tingkatkan keazaman untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik . Tetapi sekiranya anda banyak melakukan kesilapan dan perbuatan mungkar , berazamlah untuk berubah dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T

4. Membaca Doa dan Surah Tertentu
Ketika ingin melelapkan mata , amalkan membaca doa atau surah – surah tertentu terlebih dahulu . Pastikan kedudukan tidur anda mengiring ke kanan dan seeloknya menghadap ke kiblat .

Rasulullah S.A.W sering mengamal membaca surah Al – Ikhlas , Al – Falaq dan

Al – Nas dan kemudiannya dihembuskan bacaan itu di kedua – dua belah tangannya lalu digosok ke seluruh badannya di mana tangannya dapat sampai . Bacaan dan perbuatan baginda ini diulang sebanyak tiga kali berturut – turut .

5. Berazam Untuk Bangun Awal
Anda juga digalakkan untuk membaca surah Al – Kausar sebanyak tiga kali sambil berniat di dalam hati mahu bangun awal . Berazam untuk bangun awal bagi membersihkan diri dan menunaikan solat subuh .

6. Bangun Pagi
Setelah terjaga dari tidur pada waktu paginya , ucapkanlah rasa syukur kepada Allah kerana telah memanjangkan usia lalu berdoa : “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami . KepadaNya kami akan dibangkitkan” Kemudian lakukan sedikit regangan untuk melonggarkan otot – otot badan 


dipetik dari :Nour Azliza Nazeri/PPSeni/USM